Rabu, 13 Januari 2010

Ciri-Ciri Tamadun

1. Manusia menjadi lebih kreatif untuk menyesuikan kehidupan mereka dengan alam sekeliling.
2. Ini bergantung kepada pencapaian pemikiran dan kekuatan rohaniah mereka.
3. Proses pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada pencapaian manusia dalam kedua-dua aspek ini.

Petempatan Kekal
1. Salah satu ciri utama kemunculan tamadun ialah kewujudan petempatan kekal secara menetap membawa kepada corak kehidupan yang lebih sistematik.
2. Kawasan yang dipilih untuk petempatan adalah penting untuk memastikan bekalan makanan.
3. Ini akan melahirkan kemajuan di dalam bidang pertanian terutamanya dari segi penanaman dan penyimpanan makanan serta penternakan.
4. Kepandaian manusia pada masa tersebut mencipta peralatan baru seperti cangkul dan penggunaan teknologi pengairan yang baik telah meningkatkan pengeluaran dan membawa kepada lebihan pengeluaran.
5. Lebihan ini mampu menampung pertambahan bilangan penduduk kerana bekalan makanan yang berterusan.

Kehidupan Berorganisasi
1. Bertambahya bilangan penduduk telah membawa kepada sebuah kehidupan berorganisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik.
2. Kehidupan berorganisasi ini mampu mengatur cara hidup manusia untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran kehidupan mereka.
3. Organisasi sosial yang paling awal ialah sistem keluarga.
4. Pertambahan bilangan penduduk dan kepelbagaian aktiviti ekonomi telah membawa kepada proses pembahagian masyarakat yang lebih kompleks.
5. Sistem sosial masyarakat ini adalah berbentuk piramid dan bersusun lapis mengikut status sosial.
6. Lapisan paling atas merupakan golongan bangsawan yang menerajui pemerintahan yang diketuai oleh seorang raja.
7. Lapisan kedua ialah golongan pembesar yang terdiri daripada golongan yang menguasai upacara dan hal ehwal agama, individu yang dihormati oleh masyarakat seperti ketua keluarga atau ketua kelompok, kumpulan pentadbir dan ilmuan, serta kumpulan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesenian.
8. Lapisan yang seterusnya adalah terdiri daripada golongan rakyat biasa yang merupakan golongan yang paling ramai.
9. Kumpulan ini merupakan tunjang ekonomi terutamanya dalam bidang pertanian dan perdagangan.
10. Golongan hamba berada di lapisan yang paling bawah sekali.
11. Kehidupannya adalah bergantung kepada lapisan–lapisan di atasnya.


Sistem Pemerintahan

1. Sistem pemerintahan mula dibentuk untuk mentadbir masyarakat.
2. Seseorang pemimpin ataupun raja selalunya menggunakan magis dan mendakwa dirinya sebagai wakil tuhan untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai ketua pemerintah.
3. Kewujudan sistem pemerintahan akan membawa kepada lahirnya sistem perundangan yang menjadi panduan kepada masyarakat untuk menjaga keamanan dan kemakmuran sesebuah tamadun.
4. Pembentukan organisasi sosial dan politik telah membawa kepada pengkhususan pekerjaan.

Pengkhususan Pekerjaan
1. Peningkatan dalam produktiviti manusia menyebabkan pengkhususan pekerjaan menjadi lebih penting.
2. Ini menyebabkan keadaan politik menjadi stabil dan penuh dengan kemakmuran dan seterusnya membawa kepada peningkatan dan perkembangan ekonomi.
3. Melalui pengkhususan pekerjaan, barangan yang dihasilkan mempunyai kepakaran tersendiri dan ia akan menghasilkan pertukaran barangan.
4. Kegiatan ini dikenali sebagai sistem barter, yang merupakan titik permulaan bagi aktiviti ekonomi yang bersifat perdagangan.
5. Akttiviti pertukaran barang dan perdagangan dan kegiatan perdagangan membolehkan berlakunya pertukaran ilmu pengetahuan, teknologi, dan budaya antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain.




Agama dan Kepercayaan

1. Kemunculan Agama dan kepercayaan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tamadun.
2. Kedua-duanya mempunyai perkaitan yang rapat berkaitan dengan pengiktirafan terhadap golongan pemerintah, pembahagian sosial masyarakat, perkembangan ilmu pengetahuan, kesenian, dan pembinaan dalam proses pembentukan tamadun awal.
3. Proses kemunculan tamadun bermula apabila manusia mencuba untuk memahami dan menyesuaikan kehidupannya dengan alam sekeliling.
4. Unsur alam seperti pokok, batu, matahari, dan laut dipercayai mempunyai semangat dan harus dihormati demi menjaga keamanan dan kemakmuran hidup.
5. Manusia menganut agama yang dikenali sebagai animisme iaitu terdapat kuasa ghaib yang menguasai alam sekeliling.
6. Kepercayaan ini berubah menjadi bentuk agama.
7. Agama ini dikenali sebagai politeisme yang bermaksud penyembahan terhadap lebih daripada satu tuhan.


Bahasa dan Tulisan

1. Kewujudan bahasa dan sistem tulisan adalah sebahagian daripada perkembangan ilmu pengetahuan dalam proses pembentukkan tamadun yang hasilnya dapat dilihat sehingga hari ini.
2. Contoh tulisan yang awal ialah Hieroglif, Cuneiform dan Ideogram, manakala bahasa tertua ialah Yunani dan Sanskrit.
3. Bahasa amat penting untuk tujuan penyebaran ilmu pengetahuan dan perhubungan di dalam sesebuah masyarakat dan juga antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain.
4. Tulisan amat penting untuk tujuan urusan pentadbiran seperti penyimpanan rekod, penulisan undang-undang, dan hal-hal keagamaan.
5. Bahasa dan tulisan merupakan instrument paling penting untuk menyampaikan, memperkembangkan serta mencatatkan idea pemikiran manusia.
6. Semua ciri-ciri tamadun mempunyai perkaitan yang rapat antara satu sama lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan